Pertunjukan awam Wright bersaudara

Orville mendemonstrasikan mesin penerbangnya kepada Tentera Amerika Syarikat pada September, 1908.

Kontrak-kontrak Wright bersaudara dengan Tentera Amerika Syarikat dan sebuah sindiket Perancis tergantung kepada pertunjukan penerbangan awam yang berjaya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Kedua-dua adik-beradik terpaksa membahagikan usaha-usaha mereka. Wilbur belayar ke Eropah, sedangkan Orville berterbang dekat Washington, D.C.

Wilbur memberikan pertunjukan awam rasmi yang pertama pada 8 Ogos 1908 di jejak lumba Le Mans, Perancis. Penerbangan pertamanya hanya bertahan selama satu minit 45 saat, tetapi keupayaannya untuk membuat pemusingan dan berterbang dalam bulatan dengan mudah sahaja mengagumkan dan menggamamkan orang-orang yang melihat, termasuk beberapa perintis penerbangan Perancis. Pada hari-hari yang berikut, beliau membuat satu siri penerbangan yang mencabar dari segi teknik, termasuk angka lapan, dan menunjukkan kepada dunia kemahirannya sebagai seorang juruterbang dan keupayaan mesin penerbangan mereka yang jauh melebihi keupayaan mesin kesemua perintis yang lain. Orang ramai Perancis mengalami perasaan teruja terhadap perbuatan Wilbur, dan Wright bersaudara menjadi masyhur di seluruh dunia dengan serentak. Pada akhir tahun 1908, Mrs. Hart O. Berg, isteri kepada ejen perniagaan Eropah untuk Wright bersaudara, menjadi penumpang penerbangan wanita yang pertama ketika dia berterbang dengan Wilbur di Le Mans.

Orville mengikut kejayaan abangnya dengan mendemonstrasikan mesin penerbangan yang hampir serupa kepada Tentera Amerika Syarikat di Fort Myer, Virginia, bermula daripada 3 September 1908. Pada 9 September, beliau membuat penerbangan satu jam yang pertama. Kemudian pada 17 September, Leftenan Thomas Selfridge berterbang bersama-sama sebagai penumpang, dan bertindak sebagai pemerhati rasmi. Beberapa minit selepas naik ke udara pada ketinggian kira-kira 100 kaki, kipas mesin penerbangan mereka pecah, dan menyebabkan mesin penerbangan itu terhilang kawalan. Selfridge terbunuh dalam kemalangan itu, dan menjadi orang pertama yang maut dalam kapal terbang berkuasa. Orville sendiri mengalami cedera parah, dengan beberapa tulang rusuk dan satu kaki yang patah. Katharine, kakak Wright bersaudara yang bekerja sebagai guru, meluru dari Dayton ke Washingto dan berada di sisi Orville sepanjang tempoh rawatannya di hospital yang berlangsung selama beberapa banyak minggu. Kakaknya membantu mereka berunding dengan pihak tentera untuk melanjutkan kontrak mereka selama setahun.

Mesin penerbangan Wright, Model A Flyer, dengan derik pelancaran, Perancis, 1909

Amat terkejut terhadap berita kemalangan itu, Wilbur berazam untuk membuat pertunjukan penerbangan yang lebih hebat; pada hari-hari dan minggu-minggu yang berikut, beliau mencatat rekod-rekod baru untuk ketinggian dan jangka masa. Pada Januari 1909, Orville dan Katharine bertemu dengan Wilbur di Perancis, dan untuk satu tempoh masa, ketiga-tiga mereka itu menjadi orang-orang yang termasyhur di dunia, dan dicari-cari oleh raja, putera, perdana menteri, wartawan dan orang ramai. Pada bulan Februari, ketiga-tiga adik-beradik berterbang ke Pau di selatan Perancis di mana Wilbur membuat lebih banyak penerbangan awam, dan membawa berduyun-duyun pegawai, wartawan, dan negarawan sebagai penumpang penerbangan. Pada bulan April, Wilbur membuat pertunjukan di Itali di mana seorang jurukamera mengikut untuk membuat filem pertama daripada sebuah kapal terbang.

Selepas kepulangan mereka ke Amerika Syarikat, ketiga-tiga adik-beradik dijemput ke Rumah Putih untuk menerima anugerah daripada Presiden Taft. Dayton mengikut dengan perayaan kepulangan yang mewah selama dua hari. Pada Julai 1909, Orville, dibantu oleh Wilbur, siap penerbangan-penerbangan pembuktian untuk Tentera Amerika Syarikat, dan memenuhi syarat-syarat untuk sebuah kapal terbang dengan dua tempat duduk yang berupaya berterbang dengan seorang penumpang selama satu jam pada kelajuan purata sebanyak 40 batu sejam (64 kilometer sejam) dan mendarat dengan selamat. Wright bersaudara menjual kapal terbang mereka kepada Bahagian Penerbangan, Kor Isyarat Amerika Syarikat untuk sebanyak AS$30,000. Wilbur memuncakkan tahun yang luar biasa itu pada awal Oktober ketika beliau berterbang untuk perayaan Hudson-Fulton di New York City, dan mengelilingi Patung Liberty serta membuat penerbangan berulang-alik di sepanjang Sungai Hudson di tepi Manhattan yang dilihat oleh sehingga sejuta orang New York. Penerbangan ini mengasaskan kemasyhuran Wright bersaudara dengan kukuh di Amerika Syarikat.

Penerbangan keluarga

Pada 25 Mei, 1910 selepas kepulangaan ke Prairi Huffman, Orville membuat dua penerbangan yang unik. Beliau mengambil ayahnya yang berumur 82 tahun ketika itu dalam penerbangannya. Penerbangan itu merupakan penerbangan yang pertama dan yang tunggal dalam kehidupan Milton Wright. Kapal terbang itu naik sehingga kira-kira 350 kaki dan ayahnya menegur anaknya, "Tinggi lagi, Orville, tinggi lagi!" Kemudian, Orville membuat penerbangan enam minit dengan Wilbur sebagai penumpangnya. Penerbangan ini merupakan penerbangan yang tunggal di mana kedua-dua adik-beradik berterbang bersama-sama. Mereka memohon dan mendapat keizinan daripada ayah mereka untuk penerbangan itu. Sebenarnya, mereka sentiasa berjanji dengan ayah mereka tidak akan berbuat demikian untuk mengelakkan tragedi berganda dan untuk memastikan bahawa salah satu daripada adik-beradik itu akan hidup untuk meneruskan ujikaji-ujikaji mereka jikalau terdapat sebarang kemalangan.